SEARCH ABOUT ANY TOPIC HERE

Maksud Zakat Pendapatan Dan Jenis Harta Pendapatan

Assallammualaikum


Maksud Zakat pendapatan adalah sebahagian kecil bayaran yang kita buat selepas menerima bayaran seperti gaji bulanan, tunggakan gaji, elaun, bonus atau dari sumber lain seperti pekerjaan tambahan (overtime atau part time).

Begitu juga jika kita menerima wang sewaan rumah, bangunan atau kenderaan. Bayaran zakat pendapatan ini dibuat kepada pejabat zakat yang berhampiran.

Syaratnya, hasil usaha itu mestilah melalui jalan pekerjaan yang halal dan baik.

Zakat sebenarnya adalah pemberian atau sedekah. Cuma zakat pendapatan adalah wajib dilakukan jika kita cukup syarat, manakala sedekah yang tidak wajib (sunat) adalah terpulang kepada diri masing-masing.

Syarat-Syarat Zakat Pendapatan

1. Seorang Islam yang dewasa, merdeka dan sihat akal fikiran.
2. Kita memiliki sepenuhnya pendapatan dan boleh menggunakan wang ini pada bila-bila masa.
3. Wang pendapatan ini mencapai nilai minimum (nisab) yang ditetapkan mengikut negeri.


Pembayaran zakat pendapatan adalah sebanyak 2.5% sahaja dari jumlah pendapatan kita. Sedikit sahaja kan, dan baki pendapatan sebanyak 97.5% boleh kita gunakan.

Terdapat dua cara kiraan yang boleh digunakan iaitu:

1. 2.5% dari pendapatan kasar, iaitu tanpa potongan perbelanjaan, atau;

2. 2.5% dari pendapatan setelah ditolak perbelanjaan untuk diri sendiri, isteri, anak, KWSP dan pemberian kepada ibu bapa. Sekiranya kita ada membuat simpanan di Tabung Haji atau Takaful juga boleh ditolak kerana badan-badan ini telah pun membayar zakat untuk sumbangan kita.

Cara paling mudah mengira bayaran zakat pendapatan adalah dengan menggunakan kalkulator zakat pusat zakat negeri masing-masing.


Zakat Pendapatan boleh bayar secara bulanan atau lumpsum setahun. Terpulang pada pilihan individu cara mana yang rasa lebih mudah.

Jenis-Jenis Harta Pendapatan

1. Zakat Harta Penggajian dan Upah Kerja

Ia bermaksud “Harta yang diperolehi oleh seseorang hasil daripada pekerjaan yang dilakukannya untuk pihak lain sama ada kerajaan, swasta atau individu dengan melakukan sebarang usaha dalam bentuk fizikal, sumbangan idea atau kedua-duanya dalam tempoh yang dipersetujui bersama, sama ada secara tahunan, bulanan, mingguan, harian atau jam.”Contoh : 
  • Gaji, upah, bonus, tuntukan kerja lebih masa, gratuiti, pampasan, pencen, hadiah , anugerah & insentif, hasil ESOS (Skim pilihan sahan pekerja) dan sebagainya. 
  • Apa-apa hasil yang diperolehi dengan sebab pekerjaan atau penggajian.
2. Zakat Harta Pemberian Atau Sumbangan 

Ia bermaksud “Harta yang diperolehi oleh seseorang bukannya hasil daripada pekerjaan yang dilakukannya. Ia merupakan pemberian yang diterima samada daripada individu atau institusi dalam tahun semasa ” dalam berbentuk harta zakawi yang bukan dalam bentuk harta tetap (al ‘aqar) dan bukan merupakan nafkah wajib.”Contoh :
  • Hibah, hadiah, saguhati, pencen pasangan, sedekah
  • Pampasan, harta pusaka, mahar perkahwinan
3. Zakat Harta Kerja Bebas

Iaitu harta yang diperolehi oleh seseorang hasil daripada pekerjaan yang dilakukannya sendiri tanpa ada kaitan dengan pihak lain dalam bentuk kerja bebas atau perkhidmatan profesional..Contoh :
  • Bayaran perkhidmatan konsultansi profesional seperti peguam, arkitek, doktor klinik atau hospital swasta dan sebagainya.
  • Bayaran projek yang diterima oleh kontraktor dan keuntungan projek bermusim.
  • Komisyen dan residual income – pendapatan dari jualan insurans, takaful, unit trust, brokeraj dan seumpamanya.
  • Bayaran royalti atau komisyen yang diterima hasl penulisan, penerbitan, aktiviti seni dan sebagainya.
  • Hasil tunai sekali sekala seperti hasil pembiayaan semula aset atau hasil jualan aset tetap atau pinjaman bank yang tiada tujuan dan lain-lain.
4. Zakat Harta al-Mustaghallat

Iaitu segala harta yang diperolehi daripada harta yang tidak diwajibkan zakat tetapi mendatangkan pulangan atau pendapatan dengan cara sewaan atau jualan hasilnya. Contoh:
  • Hasil sewaan rumah, bangunan, kilang, premis, perniagaan dan sebagainya.
  • Hasil sewaan kenderaan, pengangkutan, peralatan, aset atau sebagainya.
  • Hasil yang dikeluarkan oleh binatang ternakan seperti susu, telur, madu dan sebagainya yang dijual


Zakat pendapatan serta lain-lain zakat akan diberikan kepada orang Islam yang fakir, miskin, pihak yang membuat kutipan zakat (amil), mereka yang terbuka hatinya memeluk Islam (muallaf), orang yang berhutang bagi tujuan yang baik, mereka yang berjuang untuk Islam, orang dalam perjalanan yang terputus wang belanja (musafir) dan untuk memerdekakan hamba.


Zakat pendapatan adalah satu rahmat Allah s.w.t yang melatih kita untuk mengingati mereka yang memerlukan dengan memberikan sedikit bantuan.

Terima Kasih

6 ulasan:

RELATED POST